KUALA LUMPUR: Komitmen jitu dalam disiplin kewangan dan penstrukturan semula ekonomi dijangka akan menarik kemasukan pelaburan portfolio asing, sekali gus akan menyokong hasil bon tempatan dan ringgit, demikian kata Franklin Templeton.
Ketua Perniagaan Malaysia Franklin Templeton, Hanifah Hashim, berkata dalam Belanjawan 2024, kerajaan menetapkan sasaran defisit fiskal sebanyak 4.3 peratus, menunjukkan komitmen kerajaan untuk menstruktur semula ekonomi di samping mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.
Beliau berkata, sasaran defisit fiskal yang lebih rendah dan nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dihadkan semuanya memberi petanda baik untuk pasaran bon.
Katanya, Malaysia melancarkan belanjawan mengembang untuk 2024 dengan fokus meningkatkan daya tahan ekonomi dan menangani isu utama hari ini yang memberi kesan kepada kehidupan rakyatnya.
Jelasnya, Belanjawan 2024 adalah bajet terbesar yang pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia dengan jumlah peruntukan RM393.8 bilion.
“Adalah menggalakkan untuk ambil perhatian bahawa kerajaan optimis terhadap KDNK untuk 2024 dan menjangkakan ia berkembang dalam julat 4 hingga 5 peratus, sejajar dengan unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Secara keseluruhan, kami percaya Belanjawan 2024 adalah seimbang, menekankan tadbir urus yang baik, tanggungjawab fiskal, dan dengan tumpuan kepada kebajikan rakyatnya,” katanya.
Walau bagaimanapun, Hanifah berkata, dalam jangka pendek, terdapat risiko potensi peningkatan dalam bekalan bon kerajaan terutamanya yang bertempoh lebih panjang, berikutan penukaran Bil Perbendaharaan jangka pendek kepada bon kerajaan yang bertempoh lebih lama.
Walaupun rasionalisasi subsidi petrol tidak diumumkan dalam Belanjawan 2024, unjuran inflasi sebanyak 2.1 peratus hingga 3.6 peratus nampaknya membayangkan bahawa ia mungkin dilaksanakan pada 2024.