Tumpuan :
Detik Niaga

DC Healthcare bakal raih RM49.81 juta daripada IPO di Pasaran ACE

Tze Sheng (kiri) pada majlis pelancaran prospektus DC Healthcare di Kuala Lumpur, hari ini -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: DC Healthcare Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan perubatan estetik, akan memperoleh RM49.81 juta menerusi terbitan 199.26 juta saham baharu pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata hasil itu akan digunakan untuk menubuhkan klinik perubatan estetik (RM9.44 juta), membeli mesin dan peralatan perubatan (RM13.12 juta), membayar balik pinjaman (RM6.24 juta), modal kerja, termasuk gaji kakitangan serta bekalan perubatan dan bahan habis pakai (RM17.01 juta) dan anggaran perbelanjaan penyenaraian (RM4 juta).

Pengarah Urusan, Chong Tze Sheng berkata IPO itu akan membiayai pelan pengembangan syarikat berdasarkan permintaan untuk perkhidmatan perubatan estetik kerana orang ramai semakin sedar tentang kesihatan kulit, serta ingin kelihatan dan berasa baik tentang diri mereka, terutamanya dalam jangka masa panjang.

“Diunjurkan bahawa perkhidmatan perubatan estetik dan perkhidmatan perubatan am yang berkaitan dengan penyakit kulit akan meningkat kerana mereka yang mempunyai lebih banyak pendapatan boleh menggunakannya untuk perbelanjaan mengikut budi bicara dan menjadi lebih berpendidikan tentang keadaan kulit,” katanya.

Pada masa ini, syarikat mempunyai 13 klinik dan 10 Pakar Perubatan Estetik Bertauliah (LCP), dibantu oleh 29 doktor perubatan pemastautin di Negeri Sembilan, Selangor, Johor, dan Kuala Lumpur.

Loading...
Terkini