KUALA LUMPUR: Pasaran getah tempatan diniagakan lebih rendah hari ini, menjejaki data pembuatan China yang agak lemah, kata seorang peniaga.
Berdasarkan data daripada Biro Statistik Kebangsaan China yang dikeluarkan Jumaat lepas, indeks pengurus pembelian pembuatan rasmi (PMI) negara itu berada pada 49.0 semasa Jun berbanding 48.8 pada Mei, mencerminkan penguncupan dari bulan ke bulan dalam aktiviti.
Sementara itu, peniaga itu berkata pasaran juga dilihat menyepi menjelang mesyuarat bank pusat dengan jangkaan kenaikan kadar selanjutnya bulan ini.
Ini selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memberi isyarat bahawa Fed mungkin akan meneruskan kenaikan kadar faedah mereka.
Mesyuarat Fed akan datang dijadualkan menjelang 25-26 Julai ini. Jun lepas, bank pusat tersebut mengekalkan kadarnya pada 5.00 peratus hingga 5.25 peratus.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 turun lima sen kepada 604.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut dua sen kepada 496 sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan MRB bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 607.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 496.5 sen sekilogram.
BERNAMA