KUALA LUMPUR: Pengilang kesal dengan keputusan kerajaan memindahkan Pusat Sehenti (OSC) pengambilan pekerja asing kembali kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), sementara Sistem Satu Saluran (OCS) bagi pengambilan pembantu rumah kekal di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata peserta industri amat kecewa dengan ‘flip-flop’ dan perubahan mendadak berterusan terhadap dasar pekerja asing yang selama ini terbukti sangat merosakkan terutamanya kepada keyakinan pelabur.
Beliau berkata, perubahan dalam dasar telah menyebabkan banyak kekecewaan dalam kalangan majikan berikutan kekeliruan dalam proses, mengakibatkan majikan terkejar-kejar dari satu kementerian kepada kementerian lain di samping kelewatan dalam pemprosesan dan kelulusan yang sangat tinggi kos kepada majikan kerana ia memberi kesan terhadap keupayaan mereka mendapatkan pekerja tepat pada masanya dan memenuhi tanggungjawab tempahan mereka.
Malah, kesan lebih buruk lagi ketika ini memandangkan negara baharu saja pulih pandemik COVID-19 di samping cabaran ekonomi global semasa yang dijangka memberi kesan kepada prestasi ekonomi pada 2023, katanya.
“Hanya baru saja pada Februari 2022 apabila pengurusan pekerja asing diserahkan kepada KSM daripada KDN dengan peranan teras mereka sebagai penjaga hal ehwal sumber manusia dan pekerja dalam negara dan menjadi organisasi memayungi yang menyelia perancangan, pengurusan dan pembangunan sumber tenaga kerja negara.
“Kementerian telah melaksanakan pengurusan hal pekerja asing di negara ini selaras dengan piagam keseluruhannya bagi memastikan kelancaran operasi pasaran pekerjaan negara dan sejak beberapa bulan lalu telah membuat pelarasan keperluan dan penambahbaikan kepada keseluruhan sistem pemprosesan berdasarkan maklum balas dan input daripada industri.
“Terdapat kebimbangan besar bahawa ‘flip-flop’ dalam dasar ini akan mengundurkan perniagaan dan pemulihan ekonomi kerana akan ada penyusunan semula dasar dan sistem oleh KDN selepas mengambil alih pengurusan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan.
Thian Lai berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru saja bercakap mengenai keperluan kecekapan jentera kerajaan dan keperluan untuk merungkai perkhidmatan yang bertindih ke arah menyokong pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, pihaknya melihat ‘flip-flop’ dalam dasar pengurusan pekerja asing sebagai kembali ke belakang kepada seruan Perdana Menteri untuk meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya, sementara kerajaan telah memutuskan untuk memindahkan OSC bagi pengambilan pekerja asing kembali ke KDN, hakikatnya KSM masih mengendalikan banyak aspek berkaitan pengambilan dan penggajian pekerja asing dari perspektif perundangan dan penguatkuasaan selaras dengan pindaan kepada Akta Kerja 1955 baru-baru ini khususnya Seksyen 60K.
Jelasnya, ia memperuntukkan majikan untuk mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja sebelum mengambil mana-mana pekerja asing, penguatkuasaan Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) Akta 2019 (Akta 446), yang mana adalah keperluan mandatori yang perlu dipenuhi untuk pengambilan pekerja asing bersama pelbagai peraturan dan syarat lain termasuk memorandum persefahaman (MoU) dengan negara sumber yang dirundingkan dan dimeterai oleh KSM bagi pihak kerajaan.
“Kami melihat pembalikan ini dalam dasar pengurusan pekerja asing kini merumitkan keseluruhan proses, menjadikan proses itu lebih mencabar kerana majikan perlu mendapatkan kelulusan daripada dua atau lebih kementerian/agensi untuk satu permohonan yang akan menyebabkan kelewatan dalam kelulusan dan ketibaan pekerja,” katanya.
Thian Lai menegaskan, FMM berpendirian teguh bahawa satu agensi yang mengendalikan keseluruhan proses pengambilan pekerja asing dari hujung ke hujung (pengambilan hingga penghantaran pulang) melalui satu sistem dalam talian tunggal adalah kunci untuk memastikan kejelasan/ketelusan dan kecekapan sistem yang lebih baik dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Beliau berkata, agensi atau sistem dalam talian tunggal akan memastikan pelarasan pelaksanaan dasar; komunikasi lebih pantas; penghapusan keperluan melantik penyedia perkhidmatan pihak ketiga di dalam negeri dan di negara sumber untuk mengendalikan banyak segmen atau proses yang terbabit dalam pengambilan pekerja asing dan membanteras aktiviti mengambil kesempatan mengaut komisen.
Justeru, FMM menyeru kerajaan mengkaji semula keputusan untuk memisahkan peranan pengurusan pekerja asing antara KDN dan KSM.Katanya, keseluruhan pemprosesan permintaan tenaga kerja mesti dikendalikan oleh KSM manakala KDN perlu memberi tumpuan kepada isu keselamatan, pengeluaran visa dan langkah kawalan sempadan yang berkaitan seperti yang dilakukan negara lain yang mempunyai pergantungan terhadap pekerja asing untuk melengkapkan keperluan tenaga kerja negara.
Pada Rabu lalu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata OCS, yang mana saluran integrasi bagi Malaysia dan Indonesia berhubung pengambilan pekerja asing ke negara ini, akan diletakkan di bawah KSM.”Sama ada OCS di bawah KSM mahupun KDN bukan isunya, apa yang penting adalah hasil akhirnya, sama ada kita dapat pekerja yang cukup atau tidak, itu lebih penting,” katanya.