comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dasar monetari Singapura kekal, terus kurangkan inflasi import

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan mengekalkan paras semasa kenaikan dasar kadar pertukaran efektif nominal dolar Singapura (S$NEER).

“Tidak akan ada perubahan pada kelebaran dan tahap yang mana ia berpusat. Pendirian dasar ini akan terus mengurangkan inflasi import selain membantu membendung tekanan kos domestik,” katanya dalam Kenyataan Dasar Monetarinya hari ini.

MAS merumuskan dasar monetari dengan menetapkan laluan untuk jalur dasar S$NEER bagi memastikan kestabilan harga dalam jangka sederhana.

Bank pusat itu akan terus berwaspada terhadap perkembangan ekonomi serta pasaran kewangan di tengah-tengah ketidaktentuan inflasi dan pertumbuhan.

Prospek pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura tahun ini telah merosot dengan kluster berkaitan perdagangan dijangka menguncup lebih jauh dan aktiviti dalam sektor perkhidmatan moden kekal lemah.

“Kadar pengembangan dalam sektor berorientasikan domestik juga perlu menyederhana kerana harga pengguna dan kadar faedah yang lebih tinggi telah menghalang perbelanjaan,” katanya.

Secara keseluruhan, MAS berkata pertumbuhan KDNK Singapura diunjur turun kepada 0.5-2.5 peratus pada 2023 berbanding 3.6 peratus yang dicatatkan semasa tahun lepas.

“Kadar pertumbuhan di bawah trend ini akan menyebabkan jurang output positif pada akhir 2022 bertukar sedikit negatif tahun ini,” katanya.

Katanya lagi, walaupun inflasi masih melonjak, langkah mengetatkan dasar monetari lima tahun berturut-turut bank pusat itu sejak Oktober 2021 telah menjejaskan momentum kenaikan harga.

“Kesan daripada pengetatan dasar monetari masih berjalan melalui ekonomi dan akan mengurangkan lagi inflasi,” katanya.

Ia berkata dengan inflasi import bertukar lebih negatif serta inflasi teras dijangka berkurangan secara material menjelang akhir 2023, MAS menilai bahawa laluan semasa kumpulan dasar S$NEER cukup ketat dan sesuai untuk menjamin kestabilan harga jangka sederhana.

Loading...
Terkini