KUALA LUMPUR: Dasar yang dilaksanakan Indonesia akan terus memainkan peranan besar dalam menentukan harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2023.
Penganalisis RHB Investment Bank, Hoe Lee Leng, berkata eksport MSM Malaysia pada Disember 2022 menjunam 3.5 peratus berbanding bulan sebelumnya walaupun cukai Indonesia dilaksanakan semula.
“Penurunan lanjut dalam jumlah stok mungkin dilihat dalam bulan-bulan seterusnya kerana pengeluaran dijangka jatuh sehingga hujung suku pertama 2023 disebabkan oleh musim keluaran rendah, manakala permintaan mungkin meningkat kerana nisbah eksport kewajipan pasaran domestik (DMO) diketatkan di Indonesia selain permintaan ketika bulan Ramadan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Lee Leng berkata, perkembangan terkini menunjukkan Indonesia mengurangkan nisbah kuota eksport berbanding domestik kepada 1:6 mulai 1 Januari lalu berbanding 1:8 sebelumnya sebagai langkah pencegahan potensi kenaikan harga minyak masak tempatan, memandangkan permintaan lazimnya meningkat ketika Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Mac dan April 2023.
“Walaupun perkara ini bagus untuk harga, kami tidak menjangka ia akan memberi kesan ketara kepada jumlah eksport sebenar kerana musim tanaman rendah pada suku pertama 2023,” katanya.
Beliau berkata, Indonesia juga menangguhkan tarikh mula mandat biodiesel B35 kepada 1 Februari depan berbanding sepatutnya bulan ini.
“Namun, jumlah peruntukan bagi 2023 kekal pada 12.9 juta tan, iaitu kenaikan 20 peratus daripada 10.8 juta tan pada 2022, yang kami rasakan adalah besar,” katanya.
Beliau menambah, China dan India turut memilih minyak sawit Indonesia, memandangkan paras stok Disember 2022 bertambah meskipun eksport Malaysia menurun.
Katanya, paras stok China melonjak kepada 52 peratus di atas paras lama yang disokong oleh kegiatan pertambahan stok untuk perayaan Tahun Baharu Cina, manakala paras stok India meningkat kepada 39 peratus di atas paras lama.
“Ini mungkin kerana pengimport mengambil kesempatan ke atas struktur duti import lebih rendah pada minyak sawit diproses sebelum ia tamat tempoh pada hujung 2022. Namun, struktur duti lebih rendah ini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2024,” katanya.
Sementara itu, Lee Leng berkata perbezaan harga minyak sawit minyak gas (POGO) masih negatif, dengan minyak gas pada AS$21.12 satu tong (AS$155 satu tan) lebih murah daripada MSM, menjadikan pengeluaran biodiesel tanpa subsidi tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan dari segi kewangan.
“Hal ini dapat dilihat pada jumlah eksport biodiesel Indonesia pada November yang merudum 89 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan, dengan streategi dagangan.
“Kami terus memilih pemain bersepadu seperti KLK, IOI dan Wilmar. Namun, kami juga nampak nilai pada pemain seperti Sarawak Oil Palms, Bumitama Agri dan Golden Agri,” katanya. – BERITA HARIAN