comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dasar gaji progresif dijangka dilaksana awal April 2024

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

Oleh: Suzila Idayu Yaacob 

KUALA LUMPUR: Dasar gaji progresif dijangka dilaksanakan awal April tahun depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata perincian lanjut termasuk peruntukan kewangan akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024, pada Oktober depan.

“Perdana Menteri telahpun memberi anggaran awal tentang jumlah dana kerajaan, tetapi itu akan kita umumkan dalam Belanjawan 2024 Oktober ini.

“Pelaksanaan gaji progresif ini dijangka pada bulan April atau Mei, jadi anggaran perbelanjaan itu harus dilakukan melalui belanjawan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama Program Kepimpinan Digital Eksekutif antara MyDIGITAL Corporation dan Asia School of Business.

Jelas beliau, dasar itu telah diluluskan oleh kabinet dan pendekatannya perlu melalui pelbagai proses, termasuk membabitkan pihak berkepentingan.

“Sebelum memutuskan mengenai prinsipal dan pendekatan yang akan diguna pakai, kerajaan perlu melalui beberapa proses perbincangan dan perincian dahulu, termasuk mengadakan siri libat urus dengan pemegang taruh sektor swasta,” katanya.

Ujarnya, kerajaan juga perlu menentukan kumpulan yang layak menerima komitmen kewangan daripada kerajaan.

Dalam pada itu, Belanjawan 2024 juga akan menumpukan usaha merapatkan jurang ekonomi antara negeri.

Bagaimanapun, peruntukan yang bakal diberikan kepada setiap negeri perlu adil dan seimbang dalam memastikan kerajaan negeri lebih dipertanggungjawabkan dalam mengurus dana berkenaan serta dapat melakukan perancangan ekonomi yang lebih baik.

Loading...
Terkini