Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Dana RM20 juta diperuntukan bagi melatih 5,000 rakyat dengan kemahiran digital menjelang akhir tahun ini.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee keong, tiga bidang latihan menjadi tumpuan iaitu kecerdasan buatan (AI), sains data dan keselamatan siber.
“Dalam perbincangan di India, latihan ini bukan hanya membabitkan HCL dan KESUMA sahaja malah ia turut membabitkan kementerian yang lain. Sasaran kerajaan amnya adalah untuk melatih 10,000 peserta. Namun, di bawah KESUMA ini adalah kolaborasi pertama kami dengan HCL dan kami sasar melatih 5,000 perserta.” kata beliau dalam sidang akhbar selepas majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bersama HCL Technologies Malaysia Sdn. Bhd.
Kerjasama ini hasil misi diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India Ogos lalu.
Bagi pihak PERKESO, mereka akan melatih pekerja khususnya golongan yang dilindungi di bawah skim insurans pekerjaan.
HRDCorp pula akan melatih pekerja secara umum di luar Skim PERKESO.
Para peserta akan dilatih berdasarkan modul yang disediakan oleh firma teknologi global yang berpangkalan di India, HCL Tech.
“Sama seperti kebanyakan juruterbang yang ingin terbangkan pesawat akan dilatih menggunakan simulator pesawat. Jadi ini akan menjadi pembelajaran yang membabitkan beberapa kes uji terpakai yang relevan untuk seseorang mengetahui pekerjaan mereka dan cara mendapatkan pekerjaan ini. Justeru, peserta boleh datang dari pelbagai latar belakang pendidikan termasuk orang kelainan upaya.” kata Naib Presiden Korporat HCL Technologies Srimathi Shivashankar.
Secara asasnya, latihan ini berbentuk praktikal dan berasaskan pekerjaan sebenar.
Oleh itu, ia akan menjadi latihan dengan penempatan dalam ekosistem HCL.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.