Tumpuan :
Detik Niaga

Dana RM17.3 juta, galak belia ceburi industri getah

MRC peruntuk RM17.3 juta menerusi inisiatif pengambilan pekerja tempatan (HMWF) 2.0

Oleh Juliana Pija Ismail

KUALA LUMPUR: Majlis Getah Malaysia (MRC) memperuntukan RM17.3 juta menerusi inisiatif dana pengambilan pekerja tempatan (HMWF) 2.0 bagi merangsang pengambilan tenaga kerja tempatan dalam industri getah negara.

Inisiatif terbaharu ini telah ditambah baik selain turut diperluas kepada lebih ramai pengusaha atau pemegang taruh dalam industri getah.

“Selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030), saya yakin inisiatif ini akan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Ini secara tidak langsung menggalakkan golongan muda, terutamanya mereka yang memohon kerja pertama, untuk mempertimbangkan untuk menyertai industri getah pada masa hadapan” kata Pengarah Kanan Bahagian Kelestarian MRC, Mohd Fauzi Mohd Ghazali

Katanya,dana itu juga selari dengan dasar kerajaan yang mengutamakan peluang pekerjaan untuk rakyat malaysia disamping mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Mac lalu, MRC menandatangani memorandum persefahaman bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial PERKESO bagi menggalakkan lebih ramai majikan dan pemain industri menggajikan pekerja tempatan.

Majikan, pengusaha serta pekerja tempatan yang mengambil bahagian akan menerima manfaat daripada melalui pembayaran balik kos caruman PERKESO dan Sistem Insuran Pekerjaan (EIS) yang dibuat keatas pekerja dan caruman yang dibuat oleh mereka sendiri melibatkan bayaran balik bagi tempoh dua tahun.

Selain daripada itu, bantuan mobiliti sebanyak RM1,000.00 juga akan diberikan kepada pekerja yang yang berpindah lebih dari 50 kilometer ke lokasi lain untuk bekerja.

MRC juga memperuntukkan sebanyak 10.2 peratus atau sejumlah RM1.77 juta daripada jumlah besar bajet tersebut untuk 38,000 pekebun kecil yang berdaftar dibawah Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk diberi perlindungan insuran selama satu tahun di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), inisiatif dan kerjasama dengan PERKESO.

Loading...
Terkini