KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur menguncup satu peratus pada April lalu berbanding setahun sebelumnya susulan cuti perayaan yang panjang dalam bulan berkenaan merencatkan aktiviti ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias berkata, KDNK pada April juga adalah rendah berbanding pertumbuhan pada Mac 2023 pada 5.6 peratus.
Ia juga disebabkan oleh perangkaan data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang kurang memberangsangkan.
April 2023 menyaksikan penurunan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada -3.3 peratus dan MSM pada -18.2 peratus manakala DTI yang sederhana pada 4.8 peratus.
“Berdasarkan data IPI, DTI dan MSM, penjejak KDNK bulanan kami menganggarkan bahawa ekonomi menyusut satu peratus tahun ke tahun pada April 2023 berbanding pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada Mac 2023.
“Namun KDNK berkemungkinan melantun semula pada Mei 2023.” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan jangkaan itu, pertumbuhan KDNK bagi tahun penuh 2023 diramalkan sekitar 4.5 peratus.