KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti dan merangka struktur baharu cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EVs), kata Menterinya Anthony Loke.
Beliau berkata pengumuman mengenai struktur baharu itu dijangka diumumkan hujung tahun ini, selain diberikan perhatian utama dalam inti pati Belanjawan 2024 bagi kementerian itu.
Beliau berkata penstrukturan baharu cukai jalan kenderaan berkenaan penting kerana kerajaan terdahulu hanya memberikan pengecualian cukai jalan EVs sehingga tempoh 2025.
“Rata-rata pengguna bimbang dengan struktur cukai jalan bagi EV kerana kalau kita ikut formula lama (cukai jalan EVs) impak kosnya tinggi dan boleh mencecah RM4,000 hingga RM5,000 setahun.
“Saya sudah arahkan pegawai-pegawai di MOT bagi untuk meneliti hal ini hasil maklum balas syarikat penyedia EVs dan pengguna. Ini juga usaha kita untuk menggalakkan peralihan kepada penggunaan kenderaan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Mobiliti Hijau dan Pengangkutan, di sini hari ini.