Oleh:Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Kadar cukai barang bernilai tinggi yang bakal dilaksanakan mulai Mei 2024, dilihat munasabah berbanding negara lain.
Menurut pakar percukaian, sebagai perbandingan, terdapat negara yang melaksanakan cukai sedemikian sehingga mencecah 95 peratus seperti Indonesia.
Di samping itu, pengenalan cukai ini dijangka memberi tambahan hasil –sehingga RM1 bilion kepada kerajaan.
Dari sudut pandangan Ketua Cukai, KPMG Tax Services, Soh Lian Seng, kerajaan komited dalam memastikan cukai baharu yang diperkenalkan, tidak membebankan rakyat.
Ini kerana cukai dikenakan hanya bagi barangan mewah atau bernilai tinggi.
“Kerajaan perlu mentakrifkan definisi “mewah” mengikut keperluan Malaysia sendiri. Ini disebabkan setiap negara menumpukan pada item yang berbeza untuk dikenakan cukai. Contohnya, China, yang mengenakan cukai barangan mewah ke atas barangan seperti kosmetik , beg dan minuman keras. Taiwan-kereta penumpang, jet peribadi, helikopter. Indonesia-kediaman mewah , pesawat, kenderaan bermotor dan Korea Selatan seperti barangan kemas dan kamera.” katanya.
Untuk mengalakkkan sektor pelancongan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan cukai baharu ini tidak dikenakan ke atas pelancong asing.
Namun, pelaksanakaan cukai ini turut menerima reaksi negatif daripada Persatuan Peruncit Malaysia (MRA).
Presidennya, Datuk Andrew Lim berkata, ” MRA sememangnya tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi ini. Menerusi anggaran ahli-ahli MRA , difahamkan bahawa peratusan pelancong asing dan pembeli tempatan/domestik yang membeli Barangan Bernilai Tinggi, adalah masing-masing 50%”.
Katanya lagi, definsi barangan bernilai tinggi ini masih tidak jelas– sama ada berdasarkan produk, jenama atau harga
Turut ditekankan, dalam belanjawan 2024, tidak dinyatakan jumlah pendapatan kerajaan yang boleh diperolehi daripada cukai mewah dan kos pelaksanaannya dalam pengutipan cukai tersebut.
Bagi pihak MRA, jika ianya tidak signifikan, kerajaan sepatutnya tidak mengenakannya, dengan peringatan bahawa tahun 2026 adalah Tahun Melawat Malaysia.
Ia juga akan menggalakkan rakyat malaysia membeli-belah di luar negara.