Oleh Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bertegas pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) memberi impak langsung kepada operasi dan perniagaan industri minyak sawit.
Justeru, organisasi itu akan mengadakan misi untuk bertemu wakil EU di Brussels, Belgium pada 30 hingga 31 Mei ini, untuk membincangkan kebimbangan peraturan EUDR.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata CPOPC memerlukan kejelasan dan garis panduan dan bagaimana EUDR percaya pekebun kecil tidak terjejas daripada pelaksanaan itu.
“Apabila mereka (EU) mengatakan pekebun kecil tidak terjejas, jadi apakah garis panduan yang jelas dalam hal itu? Terdapat juga isu kebolehpercayaan, di mana CPOPC memerlukan garis panduan yang jelas. Apakah mekanisme yang digunakan dalam pelaksanaan peraturan ini termasuk audit,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Ke-11 CPOPC di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto.
Datuk Seri Fadillah yang merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan pekebun kecil memainkan peranan penting dalam industri minyak sawit, dengan Malaysia sahaja memiliki sekitar 450,000 pekebun kecil.
Pekebun kecil juga menghasilkan kira-kira 40% daripada pengeluaran minyak sawit global.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bukan sahaja untuk melindungi mereka tetapi juga untuk memperkasakan pekebun kecil dengan pengetahuan dan alatan yang betul,” katanya.
Misi CPOPC ke Brussels juga akan membincangkan cadangan perundangan lain yang sedang dipertimbangkan EU. Antaranya, Peraturan Buruh Paksa, Arahan Tuntutan Hijau, dan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui III.