BANGI: Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd menyasarkan untuk menjadikan sistem penyimpanan tenaga bateri yang dibangunkan dan dihasilkan secara tempatan oleh syarikat itu sebagai penyelesaian utama untuk menyokong keperluan tenaga boleh diperbaharui (RE) negara.
Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata syarikat itu sedang berusaha ke arah menyokong peralihan RE negara dengan penyelesaian yang mampu milik.
“Usaha kami adalah selaras dengan ikrar Malaysia untuk menjadi negara sifar pelepasan gas rumah hijau bersih menjelang 2050,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada majlis rumah terbuka Hari Raya syarikat itu di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu.
Citaglobal Genetec BESS ialah syarikat tujuan khas yang dibentuk antara kumpulan Citaglobal Bhd dan pemaju peralatan automatik industri, Genetec Technology Bhd.
Prototaip BESS satu megawatt (MYBESS), yang dilancarkan oleh Citaglobal Genetec BESS pada April tahun ini, kini menyokong keperluan tenaga loji Genetec Technology EPIC di Bangi, Selangor.
Pengasas dan Pengarah Urusan Genetec Technology, Chin Kem Weng, berkata MYBESS masih dalam peringkat awal pengkomersialan dan penggunaan industri.
“Di peringkat tempatan, Malaysia disokong dengan baik oleh dasar, rangka kerja, komitmen belanjawan dan insentif untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga bersih, membolehkan peralihan dilakukan daripada penjanaan tenaga berasaskan fosil.
“Terdapat banyak peluang di hadapan dan kami menantikannya,” kata Kem Weng.