comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

CIDB promosi perkhidmatan pembinaan Malaysia di Tokyo

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengetuai delegasi seramai 15 ahli daripada syarikat berkaitan pembinaan Malaysia untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di pameran JapanBuild 2023 di Tokyo dari 13-15 Disember 2023.

Dalam kenyataan hari ini, CIDB berkata penyertaannya di JapanBuild 2023 bertujuan untuk mendapatkan pendedahan kepada teknologi digital terkini yang boleh dilaksanakan di Malaysia bagi menyokong kejayaan pelaksanaan dalam industri pembinaan negara.

“Delegasi itu juga akan mengkaji dan menilai peluang sedia ada dan kebolehpasaran syarikat Malaysia di Jepun sebagai persediaan untuk penyertaan Malaysia dalam Osaka Expo 2025,” katanya.

Menurut agensi itu, antara ahli delegasi tersebut ialah kontraktor, perunding teknikal dan pengurusan projek, pakar pemodelan maklumat bangunan dan pembekal jambatan keluli.

“Misi ini akan terdiri daripada beberapa sesi rangkaian dengan agensi kerajaan Jepun dan persatuan industri.

“Usaha ini sejajar dengan antara fungsi CIDB di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520), iaitu mempromosi, menggalakkan dan membantu dalam eksport perkhidmatan yang berkaitan dengan industri pembinaan,” katanya.- BERNAMA

Loading...
Terkini