comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

China sedia melabur RM5 bilion, galak industri halal negara

Oleh: Fatin Hanani Sahimi & Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: China bersedia labur kira-kira RM5 bilion ringgit terutamanya dalam usaha menggalakkan industri halal negara pada masa kini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan bersama rakan perniagaan terbesar negara itu juga akan dilakukan untuk menempatkan syarikat-syarikat tertentu di taman industri halal di negeri negeri dalam merancakkan ekonomi industri itu.

“Untuk menggalakkan pelabur masuk, saya percaya kita telah didatangani pelabur dari China dan mereka bersedia untuk melabur kira-kira RM5 bilion dan saya akan berunding dengan mereka untuk menempatkan syarikat-syarikat itu di Taman Halal Negeri supaya negeri-negeri itu dapat pengagihannya supaya kesaksamaan boleh diberikan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mengenai infrastruktur Taman Industri Halal di negeri yang dilihat tidak dimanfaatkan sebaiknya serta langkah meyakinkan pelabur dalam industri halal.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata, antara usaha lain yang akan dilaksanakan adalah dengan melibatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia(JAKIM), Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dan kementerian serta agensi lain yang akan menjadi pendukung dalam industri itu.

Jelas beliau meskipun pensijilan halal di Malaysia telah pun mendapat pengiktirafan dunia, namun ia tidak bermakna untuk terus berpuas hati dengan kedudukan itu.

“Negara perlu bersaing dengan pelbagai cabaran dari negara luar yang mengeluarkan sijil halal mereka sendiri antaranya, Jepun, Korea dan Thailand.

“Saya fikir kita telah berjaya melakukan sesuatu di peringkat awal, meskipun untuk mencapai kejayaan itu sukar tetapi untuk mempertahankan kejayaan itu lebih sukar, justeru sebab itu saya tidak mahu industri halal ini ibarat ‘indah khabar dari rupa’ dan kita mesti mengetepikan perbezaan antara negeri dan memacu dan memperkasakan indutri halal ini, “ katanya.

Sehingga Julai 2024, jumlah syarikat mendapat pensijilan halal daripada JAKIM adalah sebanyak 9,146 buah syarikat,daripada jumlah tersebut sebanyak 8,105 buah syarikat merupakan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS), manakala, 3,616 syarikat adalah syarikat milikan bumiputera dan 5,270 bukan bumiputera.

Jumlah Syarikat Multinasional (MNC) yang memperoleh sijil halal adalah sebanyak 1,041 syarikat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini