KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.0 peratus tahun ke tahun bagi 2023 berikutan data pertumbuhan memberangsangkan dalam anggaran awal bagi tempoh suku ketiga tahun ini.
KDNK meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2023, didorong oleh peningkatan dalam aktiviti berkaitan pelancongan dan kerja-kerja pembinaan sepertimana unjuran kerajaan.
Dalam nota tinjauannya hari ini, CGS-CIMB berkata walaupun kadar faedah dinormalisasi, aktiviti perbelanjaan kekal berdaya tahan berikutan intervensi kerajaan penetapan harga manakala jumlah subsidi yang besar akan terus menggalakkan pertumbuhan penggunaan pada suku keempat tahun ini.
Pada masa sama, firma penyelidikan itu juga percaya keadaan buruk hampir berakhir dan mengunjurkan wujudnya potensi langkah rangsangan besar-besaran dari China dipercayai pada akhir 2023 yang boleh meningkatkan permintaan dunia.
“Malah, eksport utama seperti elektrik & elektronik semakin beransur-ansur mula menunjukkan tanda-tanda peningkatan yang boleh dipercayai,” katanya.
Dalam pada itu, CGS-CIMB juga mengekalkan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 2.8 peratus tahun ke tahun pada 2023 dan 2024 sementara menunggu kemaskini lanjut berkaitan usaha rasionalisasi subsidi.
IHP Malaysia sebelum ini meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan (m-o-m) dan 1.9 peratus tahun ke tahun pada September 2023 berbanding 0.2 peratus dan 2.0 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2023, disumbangkan oleh faktor makanan dan pengangkutan yang lebih rendah.
Mengulas cadangan Belanjawan 2024 untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus, CGS-CIMB berkata pengiraannya menunjukkan item yang terkesan adalah7.0 peratus daripada jumlah wajaran IHP berikutan pengecualian perkhidmatan makanan dan telekomunikasi.
“Oleh itu, kenaikan cukai itu berkemungkinan meningkatkan pertumbuhan IHP tahunan sebanyak 10 mata asas,” katanya. – BERNAMA