KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan eksport Malaysia akan merosot pada beberapa bulan akan datang walaupun mencatat prestasi perdagangan kukuh pada 2022.
Firma pembrokeran itu dalam nota hari ini berkata, ia dicerminkan oleh eksport elektrik dan elektronik Disember 2022 yang menyederhana kepada pertumbuhan satu angka tahun ke tahun serta pertumbuhan negatif bulan ke bulan, yang menunjukkan permintaan yang perlahan dalam situasi kebimbangan mengenai kemelesetan global.
Malah, Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia memberi peringatan bahawa pasaran semikonduktor boleh merosot sebanyak 4.1 peratus pada 2023 daripada pertumbuhan 4.4 peratus pada 2022.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan ramalan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana kepada 4.4 peratus pada 2023 berbanding pengembangan 8.4 peratus pada 2022,” menurut CGS-CIMB.
Dari segi perdagangan keseluruhan, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan perdagangan global akan menguncup kepada satu peratus tahun ke tahun pada tahun ini berbanding pertumbuhan 3.5 peratus pada 2022.
Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata prestasi perdagangan Malaysia pada 2022 melebihi RM2 trilion untuk dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994.
Eksport berkembang 25 peratus kepada RM1.55 trilion manakala import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila telah melebihi RM1 trilion buat pertama kali, meningkat 31.3 peratus kepada RM1.29 trilion.
Sementara itu, MIDF Research berkata inflasi keseluruhan mencatat sedikit penurunan, terutamanya disumbangkan oleh harga tenaga rendah pada suku keempat 2022 dan tekanan rantaian bekalan global yang mereda.
Berikutan pembukaan semula China, tekanan rantaian bekalan akan berkurangan manakala permintaan terhadap bahan api bakal meningkat, sekali gus akan menjejaskan tekanan inflasi keseluruhan untuk terus menokok di United Kingdom dan Kesatuan Eropah. -BERNAMA