
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift kini mengetuai CEO Action Network (CAN), gabungan informal yang menumpukan kepada kemampanan pertama di Malaysia bagi CEO terkemuka dan pembuat keputusan korporat kanan, sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu.
Ahli Pengasas dan bekas Pengerusi CAN Datuk Tengku Muhammad Taufik, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), menyerahkan baton kepimpinan kepada Muhammad Umar dalam dialog jamuan tengah hari CEO anjuran Kelab Petroleum Malaysia baru-baru ini.
Tengku Muhammad Taufik yang berkhidmat selama dua tahun berkata, sejak penubuhannya pada akhir 2020, CAN telah muncul sebagai suara korporat Malaysia yang boleh dipercayai mengenai perniagaan mampan dan pembangunan mampan.
“Sebagai gabungan pemimpin yang mempunyai matlamat, usaha kami akan terus tertumpu kepada membina kapasiti terhadap kemampanan (dan) menggerakkan sumber serta peralatan yang diperlukan untuk menyokong usaha integrasi alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus.
“Paling penting, (gabungan ini) ialah mencari penyertaan aktif peringkat CEO industri dalam membentuk dan/atau menyokong dasar kemampanan serta peraturan yang akan membantu Malaysia memenuhi komitmen globalnya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Paris,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Muhammad Umar berkata bahawa CEO di Malaysia juga mempunyai cita-cita untuk mencapai matlamat global yang berkaitan seperti SDG PBB, tanpa mengabaikan keutamaan tempatan.
“Saya berharap untuk mengangkat CAN menjadi daya penggerak utama bagi amalan ESG yang baik, dengan rakan-rakan CEO yang memimpin melalui teladan dalam memperjuangkan tahap celik ESG yang lebih tinggi dan penumpuan ke arah penanda aras kemampanan bersama dalam kalangan korporat Malaysia daripada semua saiz dan industri,” kata bakal pengerusi itu.
Dalam tempoh dua tahun lalu, ahli-ahli CAN telah berusaha untuk mengadakan 21 sesi meja bulat meliputi isu berkaitan kemampanan dan cadangan dasar untuk tujuh sektor industri kritikal, membantu membina kapasiti kepada hampir 1,000 pengamal kemampanan dan melancarkan 10 aset pembelajaran digital untuk perusahaan bersaiz kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan organisasi anggotanya, kata kenyataan itu.
Ahli CAN juga telah memulakan proses untuk merangka dasar model dengan intervensi bagi menyokong ahlinya mengenai isu-isu kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman, katanya. – BERNAMA