Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing ditetapkan pada kadar dua peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar KWSP bagi pekerja asing itu bukan kumulatif.
“Terdapat beberapa kebimbangan bahawa ia mungkin kumulatif bermula pada 2 peratus kemudian meningkat kepada 4 peratus dan 6 peratus. Itu tidak berlaku.
Kami mengekalkannya pada 2 peratus yang sangat minimum,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Sambutam Tahun Baru China Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Katanya, cadangan awal adalah untuk menetapkan kadar caruman KWSP bagi pekerja asing pada 12 peratus, namun Kabinet telah mengambil kira pelbagai pertimbangan.
“Jadi, kami memutuskan untuk mengekalkannya pada 2 peratus buat masa ini, dan kami akan menunggu sehingga keadaan bertambah baik,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng dalam ucapannya berkata pihaknya berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula caruman wajib KWSP bagi pekerja asing dan untuk mengecualikan majikan daripadanya.
“Langkah ini boleh menyebabkan beban kewangan tambahan pada majikan yang telah pun bergelut dengan peningkatan kos dalam cabaran semasa persekitaran perniagaan,” katanya.
Pada masa sama, Ng berkata proses reformasi ekonomi dan subsidi mesti beransur-ansur untuk mengelakkan gangguan kepada pasaran dan perniagaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.