JAKARTA: Platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, CARSOME mengukuhkan operasinya di Indonesia dan komited melabur bagi mengembangkan perniagaannya di ibu negara baharu yang dirancang di negara itu, Nusantara.
Ia juga bekerjasama dengan Electrum yang berpangkalan di Indonesia untuk menyumbang kepada masa depan mobiliti Indonesia dengan menggalakkan penggunaan penyelesaian mobiliti mampan ketika republik itu semakin meningkat ke arah mencapai matlamat peralihan tenaganya.
Electrum ialah usaha sama antara TBS dan Gojek dengan misi untuk membangunkan dan mengubah ekosistem kenderaan elektrik (EV) beroda dua di Indonesia.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, Eric Cheng menyerahkan surat hasrat (LOI) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyatakan minat syarikat untuk menubuhkan operasi di Nusantara dan melabur dalam pendigitalan industri automotifnya.
Ia bersempena dengan penyertaan CARSOME dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta.Majlis turut disaksikan oleh Perdana Menteri yang turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Luar Indonesia, Retno Werdiningsih; dan Menteri Kerja Raya dan Perumahan Indonesia, Basuki Hadimuljono.
LOI itu kemudiannya diserahkan oleh Tengku Zafrul kepada Pengerusi Lembaga Ibu Kota Nusantara, Bambang Susantono di hadapan Anwar dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden Bogor.
Dalam perkembangan berasingan semasa lawatan ke Jakarta, CARSOME mengumumkan kerjasamanya dengan Electrum untuk mempercepatkan lagi penggunaan EV dua roda sebagai tindak balas kepada permintaan tempatan yang semakin meningkat untuk pengangkutan yang mampan dan menjimatkan.
Electrum, usaha sama antara Gojek dan TBS Energi Utama ditubuhkan pada 2021 dan bertujuan untuk memacu Indonesia muncul sebagai peneraju dalam industri EV global.
Mengulas mengenai pencapaian itu, Cheng berkata, CARSOME berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas peluang untuk menjadi antara perintis bagi melabur dalam pertumbuhan ibu negara masa depan Indonesia, Nusantara.
Beliau berkata, CARSOME berada pada kedudukan yang baik untuk menyumbang ke arah mengukuhkan ekosistem automotif Nusantara melalui pendigitalan dan untuk memacu pembangunan bakat dan penciptaan pekerjaan dengan penubuhan pusat baharu di ibu negara itu.
“Perkongsian ini juga menandakan era baharu dalam perjalanan CARSOME untuk mematangkan rancangan kami dan menyokong pertumbuhan jangkaan dalam penggunaan EV di seluruh rantau ini.
“CARSOME wujud di Indonesia sejak 2017 dan kami komited untuk mengambil tindakan bermakna yang menyokong dan menyumbang kepada keperluan pembangunan sosio-ekonomi negara,” katanya.
Pada masa ini, CARSOME mengendalikan 42 pusat runcit di Jabodetabek, Jawa Barat dan Jawa Timur.Ia melancarkan Makmal Bertauliah CARSOME pertama di Indonesia pada Ogos 2022, iaitu yang terbesar di empat pasaran operasi syarikat itu.
Pada Jun 2022, CARSOME Academy, institut teknikal automotif CARSOME, dilancarkan di Jakarta untuk meningkatkan lagi tenaga kerja mahir dalam industri automotif.
Pakatan strategik lain di Indonesia termasuk pengambilalihan iCar Asia, yang mengendalikan Mobil123 di Indonesia dan pengambilalihan saham ekuiti PT Universal Collection, syarikat perkhidmatan lelongan kereta dan motosikal yang berpangkalan di Jakarta dengan anak syarikat di seluruh Indonesia.-BERITA HARIAN