Oleh: Afrina Romzi
SEPANG: Capital A Bhd menyasarkan untuk keluar dari senarai Nota Amalan 17 (PN17) Bursa Malaysia Securities Bhd seawal Februari 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata ini sejurus penyerahan Cadangan Pelan Regularisasi kepada Bursa Malaysia hari ini, menandakan langkah penting dalam usaha syarikat untuk bebas status PN17.
“Pelan regularisasi ini, yang termasuk pengurangan modal sehingga RM6 bilion, bertujuan memperkukuhkan kunci kira-kira kami dengan menghapuskan kerugian yang ditanggung semasa pandemik Covid-19, serta mencerminkan nilai sebenar aset teras kami di Capital A,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Natal AirAsia MOVE dan Pengumuman Istimewa Capital A, hari ini.
Untuk keluar dari status PN17 sepenuhnya, beliau berkata pertama, syarikat perlu mendapatkan kelulusan Bursa Malaysia berkenaan Cadangan Pelan Regularisasi.
“Saya berharap Bursa Malaysia dapat menilai dan meluluskan pelan regularisasi dengan cepat.
“Ini supaya Capital A dapat bergerak bersama enam syarikat iaitu Teleport, Asia Digital Engineering (ADE), Santan, Big Financial Group, AirAsia MOVE dan airasia brand co (abc). Manakala bahagian penerbangan bakal beroperasi di bawah AirAsia Group,” katanya.
Selepas itu, syarikat perlu mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dan mendapatkan kelulusan Mahkamah Tinggi.
Apabila langkah-langkah telah dilengkapkan, kumpulan akan keluar daripada status PN17, menandakan kejayaan usaha pemulihan kewangan.
Pelan PN17 yang dicadangkan adalah tertakluk kepada penyempurnaan pelupusan penerbangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.