KUALA LUMPUR: Capital A Bhd yakin dengan potensi pertumbuhannya susulan permintaan perjalanan yang meningkat semula pasca pandemik COVID-19 dan menjangka syarikat itu keluar daripada status PN17 pada akhir tahun ini, kata ketua pegawai eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau berkata kumpulan pegangan pelaburan itu yang terlibat dalam sektor penerbangan, logistik, gaya hidup dan usaha niaga perkhidmatan kewangan, merancang menyerahkan pelan regularisasi yang telah dimuktamadkan kepada Bursa Malaysia seawal Februari depan.
“Kami boleh keluar daripada PN17, sudah pastinya tahun ini, saya berharap lebih awal (daripada itu). Semua perunding kami sekarang sedang menyemak semua perkara.
“Kami berharap dapat mengemukakannya kepada Bursa (kemungkinan antara) Februari dan April. Jadi sebaik sahaja kami mendapat kelulusan, barulah kami akan menelitinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan Rakan Penghantar dan Pemandu AirAsia Super App di sini, hari ini.
Capital A memasuki senarai PN17 Bursa Securities – kategori bagi entiti yang berdepan masalah kewangan, pada Januari 2022.
Kumpulan itu sebelum ini mengumumkan tidak ada sebarang rancangan penggabungan antara dua entiti penerbangannya, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX), namun sebuah kumpulan penerbangan berasingan akan dibentuk di bawah cadangan strategi keluar daripada PN17.
Mengulas mengenai permintaan perjalanan terutamanya dari China susulan pembukaan semula sempadan negara itu, Fernandes berkata kumpulan tersebut menjangkakan pemulihan pasaran yang sangat kukuh memandangkan permintaan memberangsangkan yang diterimanya daripada pelancong China.
“Kami belum memulakan penjualan secara penuh kerana kami memohon bagi semua hak…tetapi kami memohon bagi 19 destinasi (berbanding) 24 destinasi yang kami ada sebelum COVID-19.
“Permintaan ada. Jelas sekali penerbangan ke luar negara sangat mahal jadi kami fikir ramai orang akan datang ke Asia Tenggara,” katanya.
Fernandes berkata tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk menerbangkan kesemua pesawatnya sekali lagi dan menjangka dapat mencapai paras seperti sebelum COVID-19 pada Julai depan bagi semua pasaran, bukan hanya China.
Menurutnya, perniagaan penerbangan akan menggunakan 204 pesawat menjelang Mei berbanding 150 pesawat ketika ini dan tidak ada sebarang serahan pesawat baharu tahun ini, namun sebanyak 50 pesawat baharu dijangka diterima pada 2024.
“Orang ramai perlu faham syarikat penerbangan memerlukan sedikit masa untuk kembali seperti biasa, tetapi kami sedang berusaha keras. Kami mendengar keluhan rakyat..isu dengan AirAsia (berkaitan) prestasi masa…saya fikir ia akan diselesaikan. Bagi isu bayaran balik, saya fikir ia sudah hampir selesai sekarang.
“Semuanya kelihatan positif, tetapi masih banyak lagi yang perlu kami tangani seperti harga minyak yang masih sangat tinggi dan prestasi ringgit berbanding dolar AS. Namun begitu permintaan sangat kukuh dan saya percaya 2023 akan menjadi tahun yang penting kepada kami untuk bangkit semula seperti sedia kala,” katanya. – BERNAMA