KUALA LUMPUR: Cagamas Bhd memuktamadkan terbitan bon dan sukuk bernilai RM1.085 bilion terdiri daripada RM735 juta Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) setahun, RM200 juta IMTN tiga tahun dan RM150 juta Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) lima tahun.
Perbadanan gadai janji nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata hasil daripada terbitan tersebut akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman rumah dan pembiayaan rumah daripada sistem kewangan domestik.
“Kami gembira IMTN dan CMTN ini dapat diterbitkan dengan jayanya meskipun sentimen pasaran yang berhati-hati memandangkan landskap politik tempatan yang tidak menentu sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Terbitan itu diletakkan pada harga yang berpatutan melebihi terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Instrumen Kerajaan Malaysia yang setara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Datuk Chung Chee Leong dalam kenyataan tersebut.
Menurut Cagamas, susulan selesainya terbitan tersebut nilai terbitan syarikat itu setakat ini dari pasaran domestik dan juga antarabangsa berjumlah sebanyak RM19.17 bilion, sambil menambah ia berada di landasan untuk mencapai terbitan bon dan Sukuk bernilai sekurang-kurangnya RM20 bilion tahun ini.
“Kertas tersebut, yang akan ditebus pada nilai nominal penuh masing-masing selepas matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, dan berkedudukan setara dengan obligasi tidak bercagar sedia ada lain syarikat,” katanya. – BERNAMA