comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Cadangan wajibkan KWSP pekerja asing, kerajaan digesa beri peringatan awal – Glomac

Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac ke-40, hari ini. – FOTO: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk memberi peringatan awal terhadap pelaksanaan dasar baharu termasuk cadangan mewajibkan caruman pekerja asing dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor bagaimanapun mengakui manfaat jangka panjang tetapi industri pembinaan memerlukan masa untuk membuat persiapan.

“Saya faham mengapa kerajaan mahu melaksanakan perkara (KWSP) ini, negara-negara lain telahpun melaksanakannya.

“Tetapi kami memerlukan peringatan awal, sama ada akan dilaksanakan bermula 2026 atau dilaksana pada dua, tiga bulan akan datang yang mana bukan sahaja sektor pembinaan, malah saya fikir Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) juga tidak bersetuju dan berharap kerajaan akan mempertimbangkan perkara ini,” katanya pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac ke-40, hari ini.

Beliau mengulas cadangan untuk memperluaskan sumbangan KWSP kepada pekerja asing telah memberi kejutan dan menimbulkan kebimbangan dalam pelbagai sektor.

“Gaji minimum juga satu perkara lain. Apabila anda berurusan dengan pekerja-pekerja sektor pembinaan, mereka selalunya diambil bekerja mengikut gaji harian walaupun gaji bulanan minimum telah ditetapkan.

“Ini menjadikan dasar ini mencabar bagi majikan membuat persiapan dalam jangka pendek, khususnya dari segi pematuhan,” katanya.

Selain itu, kerajaan perlu menggalakkan penggunaan sistem binaan Berindustri (IBS) dalam jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Insentif juga wajar ditawarkan, sama ada dalam bentuk kewangan atau kelebihan lain seperti peningkatan nisbah plot dan proses kelulusan yang lebih pantas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini