comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Cadangan caruman wajib KWSP pekerja asing untuk persekitaran pekerjaan adil, selari ILO

Foto hiasan

Oleh: Afrina Romzi

PETALING JAYA: Cadangan mewajibkan pekerja bukan warganegara mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertujuan menyediakan persekitaran pekerjaan yang adil dan selari dengan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, pelaksanaan ini juga dapat menangani isu pekerja asing yang tinggal lebih masa meskipun tempoh permit telah tamat.

“Ramai antara mereka (pekerja asing) yang tinggal lebih masa selepas tempoh bekerja diberikan. Salah satu perkara menerusi caruman KWSP, apabila permit kerja tamat, mereka akan mengeluarkan simpanan mereka untuk meninggalkan negara ini,” katanya pada Siri Seminar Deloitte TaxMax ke-50 dengan tema ‘Memupuk pertumbuhan ekonomi cara MADANI’ anjuran Deloitte Malaysia hari ini.

Beliau menjawab soalan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkenaan rasional kerajaan untuk mewajibkan pekerja bukan warganegara mencarum dalam KWSP.

Heng Guie turut mendesak kerajaan untuk melaksanakan libat urus dengan pemain industri kerana cadangan ini telah memberi kejutan kepada mereka.

Syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana perlu menyelaraskan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan dan mekanisme levi pelbagai peringkat.

“Kami menyokong gaji minimum, kami berlibat urus dalam mesyuarat sejak hari pertama, meningkat dari RM1,500 kepada RM1,700.

“Kami juga bersetuju dengan mekanisme levi pelbagai peringkat untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Hanya yang ketiga mengejutkan kami, kami tidak pernah berlibat urus dari awal lagi tentang cadangan mewajibkan pekerja asing mencarum dalam KWSP mereka,” jelas beliau.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini