Tumpuan :
Detik Niaga

BYD bawa masuk tiga lagi model kereta elektrik

BYD Dolphin dan Seal antara model akan diperkenalkan di Malaysia tahun ini. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Sime Darby Motors menerusi BYD sedang berusaha untuk melancarkan tiga lagi model baharu kenderaan elektrik (EV) di Malaysia iaitu Dolphin, Seal dan e6 pada tahun ini.

Penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang, berkata pelancaran baharu itu susulan populariti BYD Atto 3, yang menyaksikan sebanyak 1,500 tempahan dibuat selepas pelancarannya dalam bulan pertama.

“Sime Darby Motors menyasarkan jualan 3,000 unit Atto 3 sebulan yang kami rasakan agak mencabar memandangkan kurang permintaan bagi EV di Malaysia,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Bahagian automotif Sime Darby Bhd itu bulan lalu secara rasmi membawa masuk EV sulung BYD ke pasaran kereta penumpang negara menerusi Atto 3.

Bagi memacu pasaran EV tempatan, Sime Darby Motors bersama rakan pengedarnya memperuntukkan pelaburan berjumlah RM500 juta dalam tempoh dua tahun untuk mewujudkan rangkaian meluas bilik pameran BYD serta infrastruktur pengecas bagi memenuhi permintaan di negara ini.

Kerjasama Sime Darby Motors dan BYD, syarikat teknologi tinggi terkemuka China adalah sebahagian daripada komitmen syarikat automotif itu untuk mempercepatkan peralihan kepada EV dan menerajui kaedah pengangkutan rendah karbon di Malaysia.

BYD Atto 3 dengan pacuan kuasa elektrik sepenuhnya ialah SUV pertama yang dibina berasaskan e-platform 3.0 lanjutan BYD.

Model itu direka khas sebagai EV berprestasi tinggi, dengan tahap kepintaran, kecekapan dan keselamatan serta estetika yang tiada tandingan.

Sime Darby Motors membuka bilik pameran pertama di TREC KL, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini