Oleh: Afrina Romzi
PETALING JAYA: Pasaran saham serantau hari ini menyaksikan kejutan dengan majoriti indeks utama jatuh mendadak, termasuk di Malaysia.
Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng percaya pasaran tempatan akan kekal stabil disokong belian daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Kami menjangkakan pasaran tempatan akan disokong pada tahap semasa, terutamanya apabila GLIC telah mengurangkan pegangan ekuiti asing mereka sejak awal tahun ini.
“Walaupun pasaran AS menghadapi pelbagai masalah, kami melihat ini sebagai peluang pelabur untuk memanfaatkan persekitaran harga saham yang rendah kerana penjualan hari ini di Bursa adalah berlebihan,” katanya kepada BuletinTV3.
Beliau juga percaya jualan besar-besaran yang berlaku hari ini banyak dipengaruhi kebimbangan berlakunya kemelesetan di AS selain kemerosotan ketara di Wall Street.
“Walaupun tanda-tanda “hard landing” ekonomi AS telah dijangkakan, komuniti pelabur sebahagian besarnya tidak mengendahkannya, sebaliknya memfokuskan pada prestasi pemecahan rekod Wall Street sejak awal tahun ini,” jelas beliau.
Pada jam 5 petang, FBM KLCI turun 74.57 mata kepada 1,536.48
Berbanding dengan saham serantau, bursa saham Jepun, Nikkei 225 mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah, jatuh 4,451.28 mata kepada 31,458.42.
Manakala, bursa saham Taiwan, TAIEX susut 1,807.21 mata kepada 19,830.88, serta bursa saham Singapura, STI turun 137.78 mata kepada 3,243.67.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.