
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM75 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat 33.6 peratus pada suku sama 2023.
Kenaikan keuntungan bersih itu didorong terutamanya oleh peningkatan 23 peratus dalam pendapatan operasi pasaran sekuriti kepada RM123.1 juta pada suku pertama 2024 berbanding RM100 juta pada suku sama tahun lalu.
Sementara itu, jumlah perbelanjaan mengurus meningkat 8.6 peratus kepada RM87.1 juta pada suku dikaji berbanding RM80.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya, terutamanya berikutan kos kakitangan dan perbelanjaan teknologi yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata pengendali bursa tempatan itu memulakan tahun ini susulan momentum positif tahun lalu.
Beliau berkata, purata nilai dagangan harian (ADV) untuk dagangan pasaran sekuriti terus berkembang, meningkat sebanyak 36.9 peratus kepada RM2.9 bilion daripada RM2.1 bilion pada suku pertama 2023.
“Peningkatan ini telah menyumbang dengan ketara kepada pendapatan operasi yang lebih tinggi pada suku ini. Sebagai bursa pelbagai aset, kami terus mendemokrasikan akses dan menyediakan lebih banyak lagi peluang kepada semua pihak yang berkepentingan.
“Pelabur runcit domestik kekal sebagai segmen utama dalam memacu pasaran kami ke hadapan, dan Bursa Malaysia akan meneruskan usaha jangkauannya dan menambah baik ekosistem pasaran melalui inisiatif seperti MYBURSA dan BURSA REACH,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada suku pertama 2024, pendapatan operasi pasaran derivatif meningkat 12.7 peratus kepada RM31.8 juta berbanding RM28.3juta pada suku sama 2023.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.