Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia tinggi dalam dagangan awal, menjejaki Wall Street

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia tinggi dalam dagangan awal hari ini, menjejaki Wall Street yang ditutup kukuh dengan Dow Jones Industrial Average (DJIA) mencecah paras tertinggi pada 44,000 Jumaat lalu berikutan saham kekal berada dalam kedudukan positif, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.41 mata kepada 1,624.65 daripada 1,621.24 pada Jumaat lalu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.39 mata kepada 1,625.63.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 182 berbanding 170 manakala 296 kaunter tidak berubah, 1,759 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 201.99 juta saham bernilai RM130.25 juta.

Di peringkat luaran, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, Donald Trump yang memenangi pilihan raya presiden AS komited untuk mengurangkan birokrasi dalam industri seperti perumahan dan tenaga.

Beliau turut merancang untuk melanjutkan Akta Pemotongan Cukai dan Pekerjaan 2017, yang akan tamat pada 2025, mendorong kepada pengurangan kadar cukai korporat daripada 21 peratus kepada 15 peratus dan memperkenalkan ‘jawatankuasa kecekapan’ untuk mengurangkan pembaziran kerajaan.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng ditutup rendah berikutan aktiviti pengambilan untung, dengan pelabur kekal berhati-hati menjelang langkah-langkah ekonomi yang dijangkakan dari Beijing.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI ditutup rendah sedikit dari Jumaat dalam persekitaran pasaran serantau yang bercampur-campur walaupun prospek ekuiti tempatan kekal positif, dengan ekonomi Malaysia disokong oleh permintaan pengguna yang kukuh, pemulihan sektor dan langkah-langkah berdaya tahan daripada kerajaan.

“Pembaharuan struktur dijangka meningkatkan pendapatan korporat. Saham perladangan dijangka menyaksikan minat jangka pendek yang berterusan berikutan niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) melebihi RM5,000 satu tan.

“Kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan dalam julat 1,620 hingga 1,630 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Axiata dan QL Resources, masing-masing naik 3.0 sen kepada RM2.28 dan RM4.88, IHH Healthcare meningkat 6.0 sen kepada RM7.27, CIMB menambah 5.0 sen kepada RM8.27, Maxis menokok 2.0 sen kepada RM3.59 dan IOI Corp naik 2.0 sen kepada RM3.59.

Daripada saham paling aktif, Mega Fortris berkurangan setengah sen kepada 66.5 sen, Azam Jaya naik 36 sen kepada RM1.14, 3Ren merosot 1.0 sen kepada 44 sen, Ekovest susut setengah sen kepada 37 sen, Sarawak Cable turun 2.0 sen kepada 9.0 sen dan Silver Ridge tidak berubah pada 53.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 4.47 mata kepada 12,236.27, Indeks FBM Emas meningkat 11.02 mata kepada 12,276.89 dan Indeks FBMT 100 menambah 12.56 mata kepada 11,979.02.

Indeks FBM 70 merosot 19.57 mata kepada 17,845.82 dan Indeks FBM ACE jatuh 3.65 mata kepada 5,141.27.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.18 mata kepada 172.43, Indeks Tenaga berkurangan 0.87 mata kepada 833.21, bagaimanapun, Indeks Perladangan naik 29.57 mata kepada 7,661.15 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.80 mata kepada 19,289.82.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini