KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran menurunnya bagi sesi dagangan ketujuh berturut-turut hari ini berikutan kekurangan pemangkin, menongkah arus berbanding pasaran serantau yang kebanyakannya ditutup tinggi.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.28 mata atau 0.27 peratus kepada 1,585.38 daripada paras penutup 1,589.66 pada Isnin. Indeks penunjuk pasaran dibuka rendah turun 0.50 mata kepada 1,589.71 dan bergerak antara paras 1,582.35 dam 1,594.71 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 838 berbanding 316, dengan 442 kaunter tidak berubah, 822 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 5.23 bilion unit bernilai RM3.70 bilion daripada 5.01 bilion unit bernilai RM3.78 bilion pada Isnin.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI kekal pada fasa penstabilan apabila sentimen pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati berikutan kekurangan pemangkin belian.
“Bagi indeks serantau, kebanyakan pasaran ditutup lebih tinggi berikutan aktiviti membeli saham berharga rendah. Pasaran di Hong Kong kembali stabil selepas tiga hari mencatatkan penurunan mendadak apabila menteri-menteri China dan Eropah memulakan dialog mengenai tarif import untuk kenderaan elektrik dari China.
“Di pasaran tempatan, FBM KLCI kekal tidak berubah meskipun terdapat beberapa percubaan untuk meningkatkan kembali indeks,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Thong berkata indeks itu dijangka mencatatkan sedikit kenaikan berikutan harga pasaran yang rendah dan menjangka ia berlegar dalam jajaran 1,580 hingga 1,600 bagi tempoh berbaki minggu ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.