comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia teruskan aliran meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat pada sesi dagangan awal hari ini, disokong oleh jangkaan aliran masuk dana asing ke pasaran ekuiti Malaysia, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.35 mata kepada 1,670.17 daripada 1,668.82 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.09 mata kepada 1,669.91.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 229 berbanding 155, dengan 321 kaunter tidak berubah, 1,822 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 179.77 juta unit bernilai RM128.79 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, minat yang tinggi dalam pasaran baharu dapat meningkatkan pelaburan asing dalam ekuiti tempatan.

Firma itu turut menjangka pelabur akan melabur dalam saham permodalan kecil dan saham berharga rendah, yang telah terlebih jual dalam beberapa minggu ini.

“Selain itu, kami percaya ringgit yang kukuh akan memberi manfaat kepada sektor domestik seperti pembinaan, pengguna, utiliti, kewangan dan automotif.

“Kami turut menjangka lebih banyak peluang perdagangan dalam sektor hartanah, terutamanya berkaitan pembangunan pusat data dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.62, CIMB naik satu sen kepada RM8.45 dan Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM14.70 manakala Public Bank merosot satu sen kepada RM4.69 dan IHH Healthcare berkurangan tiga sen kepada RM7.07.

Bagi kaunter aktif, Iskandar Waterfront City naik 3.5 sen kepada 65.5 sen, Ekovest meningkat 1.5 sen kepada 40 sen dan Velesto Energy menambah setengah sen kepada 20 sen manakala Capital A dan MQ Technology, masing-masing menokok dua sen kepada 91 sen dan 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 17.31 mata kepada 12,556.06, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 10.43 mata kepada 12,422.90, Indeks FBMT 100 menambah 15.92 mata kepada 12,247.13 dan Indeks FBM 70 menokok 45.74 mata kepada 17,987.64 manakala Indeks FBM ACE merosot 0.5 mata kepada 5,202.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.50 mata kepada 19,712.31 dan Indeks Perladangan meningkat 5.68 mata kepada 7,182.33.

Bagaimanapun, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.28 mata kepada 178.56 dan Indeks Tenaga susut 1.72 mata kepada 875. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini