Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia sasar RM10 bilion diraih daripada 39 IPO tahun ini

Bangunan Bursa Malaysia. – FOTO: NSTP

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd mensasar RM10 bilion dapat diraih daripada 39 tawaran awam permulaan (IPO) tahun ini, berbanding 35 IPO dengan nilai permodalan pasaran RM11.5 bilion yang direkod tahun lalu.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata setakat Januari, tujuh syarikat telah disenaraikan dengan prestasi memberangsangkan dari segi rekod lebih langganan dan premium diraih. Ia melibatkan satu syarikat di Pasaran Utama dan enam syarikat di Pasaran ACE.

“Memandangkan lebihan langganan dan premium yang tinggi di kaunter (IPO baharu) ini, ia telah menarik minat daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang juga sasaran untuk Pasaran ACE. Syarikat yang sedang berkembang ini boleh disenaraikan di pasaran dan membuat tawaran untuk mengumpul sedikit modal untuk mengembangkan perniagaan,” katanya pada taklimat prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi tahun kewangan 2022 di sini, hari ini.

Tambah beliau, ada beberapa syarikat meraih dana yang rendah melalui IPO berikutan tawaran saham yang lebih kecil, tetapi mampu membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Dalam pada itu, keuntungan bersih Bursa Malaysia turun 36.2 peratus kepada RM226.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Manakala perolehan jatuh kepada RM603.25 juta daripada RM767.54 juta pada tahun kewangan 2021.

Keuntungan bersih yang lebih rendah itu terutamanya disebabkan purata nilai dagangan harian (ADV) jatuh 42 peratus kepada RM2.07 bilion, bagaimanapun jumlah itu lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik pada RM1.9 bilion.

Untuk itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhamad Umar Swift mensasar ADV akan meningkat sehingga paras RM2.4 bilion tahun ini.

Ia dengan jangkaan pengukuhan dalam mata wang tempatan, nilai syarikat yang bertambah baik, lebih banyak pelaburan asing serta sokongan pelabur domestik.

Loading...
Terkini