Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia sasar capai 20 IPO separuh pertama 2023

Foto hiasan

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia sasar untuk mencapai 20 tawaran awam permulaan (IPO) menjelang separuh pertama tahun ini.

Pengarah Pengasalan dan Penyenaraian, Bursa Malaysia, Azhar Mohd Zabidi, berkata ini selepas 10 syarikat berjaya disenaraikan dalam pasaran ekuiti tempatan pada suku pertama, sekali ganda berbanding tahun lalu.

“Kami yakin antara sekarang sehingga separuh pertama tahun ini, kami akan melihat secara keseluruhan sekitar 20 (IPO) atau sekurang-kurangnya 18 hingga 20 syarikat. Kebanyakannya adalah daripada Pasaran ACE. Beberapa lagi daripada Pasaran LEAP manakala Pasaran Utama menjelang separuh pertama tahun ini. Jika tidak silap, kita akan mempunyai sekitar empat (IPO),” katanya kepada pemberita di rumah terbuka Bursa Malaysia Raya di sini, hari ini.

Tambah beliau, Rangka Kerja Pemindahan LEAP yang diperkenal baru-baru ini akan memudahkan akses pasaran kepada lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia juga akan memberikan kejelasan untuk syarikat, bagaimana mereka boleh berganjak dari Pasaran LEAP, ke Pasaran ACE dan seterusnya Pasaran Utama.

Sebelum ini, dua syarikat terpaksa keluar daripada Pasaran LEAP dan melalui proses keseluruhan untuk penyenaraian di Pasaran ACE.

Bagaimanapun sekarang, Bursa Malaysia mendapati enam syarikat berpotensi untuk berganjak ke Pasaran ACE.

Loading...
Terkini