Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia yakin dapat mengekalkan prestasi kukuh, dengan sasar 60 tawaran awam permulaan (IPO), tahun ini.
Menurut Pengerusi Bursa Malaysia,Tan Sri Abdul Wahid Omar, ia dijangka mampu meraih nilai pasaran mencecah RM40.2 bilion.
“Syarikat dalam rancangan untuk penyenaraian agak kukuh berdasarkan kepada penyerahan yang dibuat sekarang. Ini pun kita ada dua syarikat untuk disenaraikan di papan utama Bursa yang telah pun diluluskan dan bakal disenaraikan pada bulan Mac dan seterusnya.”katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi tahun kewangan 2024, siang tadi .
Antara IPO yang menjadi tarikan tahun ini termasuk penyenaraian semula MMC Port.
Selain itu, katanya, sebanyak 15 syarikat telah mendapat kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE, dengan beberapa lagi sedang dalam proses penilaian.
“Dari segi nilai pasaran, tahun lalu setiap syarikat yang disenaraikan merekodkan purata nilai sekitar RM620 juta. Namun, tahun ini kami mengunjurkan nilai purata lebih tinggi iaitu sekitar RM670 juta, melibatkan pelbagai kategori syarikat kecil dan besar,”jelasnya.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.
Muhamad Umar menjelaskan sasaran 60 penyenaraian itu berpotensi untuk melepasi jangkaan, membabitkan sektor kesihatan, tenaga, pembinaan, dan perdagangan.
“Kami menjangkakan kumpulan yang sangat pelbagai tahun ini, tanpa dominasi daripada mana-mana sektor tertentu. Kami juga teruja dengan kemungkinan kemasukan semula MMC Port ke Bursa Malaysia tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat, dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM310.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), meningkat 22.9 peratus berbanding RM252.4 juta pada FY2023.
Prestasi positif itu didorong oleh pertumbuhan 27.8 peratus dalam hasil operasi kepada RM757.7 juta, berbanding RM592.8 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya, hasil daripada prestasi kukuh dalam pasaran sekuriti, derivatif, dan perniagaan data.
Turut diumumkan pelantikan Datuk Fad’l Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 Mac nanti.
Fad’l akan mengambil alih kepimpinan bursa susulan persaraan Datuk Muhamad Umar yang akan datang dan telah berkhidmat sebagai CEO pengendali bursa saham itu sejak Februari 2019.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.