Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari, FBM KLCI susut 0.48 peratus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Isnin dengan lebih rendah di tengah-tengah sentimen pasaran yang lemah.

Pada rehat tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.70 mata atau 0.48 peratus kepada 1,405.03 daripada 1,411.73 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Penanda aras pasaran itu dibuka susut 3.55 mata kepada 1,411.73 dan seterusnya bergerak dalam jajaran 1,400.49 hingga 1,408.52 sepanjang sesi berkenaan.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 555 berbanding 251 manakala 318 kaunter lain tidak berubah, 1,138 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.92 bilion unit bernilai RM898.62 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata susulan ketidaktentuan pasaran Amerika Syarikat (AS) pada minggu lepas, pelabur terus memaparkan sikap berhati-hati.

Beliau juga menjangkakan indeks utama tersebut berkemungkinan mencatat dagangan dalam aliran julat 1,405-1,415 sehinggalah terdapat petunjuk lebih jelas daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang akan mengadakan mesyuarat keduanya tahun ini pada 21-22 Mac, 2023.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia IHH Healthcare menokok lima sen kepada RM5.87; CelcomDigi naik sembilan sen kepada RM4.14; Maybank dan Public Bank masing-masing kekal pada RM8.38 dan RM3.97 manakala Petronas Chemicals turun  27 sen kepada RM6.96.

CIMB pula berkurangan tiga sen kepada RM5.19 manakala TNB susut empat sen kepada RM9.51.

Bagi saham aktif, Green Packet naik setengah sen kepada 5.5 sen; Jade Marvel menambah satu sen kepada 31 sen; Sapura Energy tidak berubah pada 4.5 sen; Top Glove turun satu sen kepada 90.5 sen dan Minda Global berkurangan setengah sen kepada 14 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 49.47 mata kepada 10,286.93; Indeks FBM 70 turun 55.53 mata kepada 13,309.12; Indeks FBMT 100 susut 46.32 mata kepada 9,982.56; Indeks FBM Emas Shariah merosot 54.62 mata kepada 10,612.62 dan Indeks FBM ACE menguncup 2.76 mata kepada 5,246.18.

Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 37.87 mata kepada 15,501.84; Indeks Tenaga berkurangan 18.43 mata kepada 804.43; Indeks Perladangan merosot 79.96 mata kepada 6,792.36 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.40 mata kepada 167.65. – BERNAMA

Loading...
Terkini