comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia menyusut susulan aktiviti pengambilan untung berterusan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari keenam berturut-turut dalam jajaran dagangan yang agak kecil selepas pelabur terus mengambil keuntungan selain enggan membuat pergerakan ketara susulan penjualan besar-besaran teknologi di Wall Street pada Jumaat lepas, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 0.05 peratus atau 0.71 mata kepada 1,589.66 daripada 1,590.37 ketika ditutup Jumaat lepas.

Indeks penanda aras dibuka 0.50 mata lebih lemah pada 1,589.87 dan bergerak antara 1,582.78 dan 1,594.09 sepanjang sesi dagangan.

Kelebaran pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 914 berbanding 302, dengan 447 kaunter tidak berubah, 774 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 5.01 bilion unit bernilai RM3.78 bilion daripada 5.83 bilion unit bernilai RM6.06 bilion.

Ketua Penyelidikan Pelaburan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian, Mohd Sedek Jantan berkata sektor penjagaan kesihatan dan teknologi menyaksikan penyusutan ketara.

Beliau berkata sektor teknologi menurun berikutan kebimbangan bahawa saham-saham teknologi mungkin melembap.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini