comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia meningkat tiga hari berturut-turut, didorong sentimen positif

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikan bagi hari ketiga berturut-turut pada Rabu, disokong belian tidak henti-henti dalam saham berwajaran tinggi didahului kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian, sejajar dengan prestasi positif di bursa serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.60 mata atau 0.47 peratus kepada 1,398.06 daripada 1,391.46 ketika ditutup pada Selasa.

Petronas Chemicals dan Press Metal ialah penyumbang utama kepada kenaikan indeks utama, masing-masing meningkat 20 sen dan 9.0 sen kepada RM6.34 dan RM4.89, dengan jumlah gabungan sebanyak 3.87 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks-indeks utama serantau kebanyakannya ditutup tinggi didorong oleh keyakinan terhadap sokongan China kepada sektor hartanah.

Beliau memberitahu Bernama hari ini, ekonomi kedua terbesar dunia itu dijangka mempercepat pelaksanaan dasar untuk menyokong pasaran hartanah, dan langkah mendorong keyakinan perniagaan mungkin diperkenalkan.

Beliau juga berkata pelabur berharap Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan menghentikan sementara kenaikan kadar faedah menjelang laporan inflasi negara itu hari ini, sekali gus akan kurang menjejaskan aktiviti perniagaan.

“Di peringkat tempatan, kami berpandangan prospek ekuiti tempatan akan kekal stabil dengan sokongan belian teguh dari institusi tempatan susulan penilaian yang murah, didorong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh yang akan memacu pasaran ke hadapan.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI menguji semula paras 1,400 tidak lama lagi. Jika FBM KLCI mampu bertahan melebihi paras 1,400 untuk tempoh yang lebih lama, prospek indeks penanda aras ini akan positif dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Thong berkata selepas menembusi paras psikologi kukuh 1,400, pihaknya menetapkan rintangan seterusnya pada 1,415 dan sokongan pada 1,375.

BERNAMA

Loading...
Terkini