comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal dagangan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meraih peningkatan kecil sebanyak 0.13 peratus pada sesi awal dagangan Rabu walaupun dalam senario tindakan pasaran serta dagangan yang suram semalam.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.95 mata kepada 1,452.73 daripada paras 1,450.78 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.59 mata kepada 1,452.37.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 121 berbanding 91 manakala 273 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,818 tidak diniagakan dan 56 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 137.75 juta unit bernilai RM52.47 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata di peringkat global, Wall Street kekal kukuh berikutan sentimen optimis terhadap ekuiti AS yang terus mendorong tiga indeks utama hampir mencecah paras tertinggi.

“Namun, ada yang menjangkakan aliran menaik ini mereda jika Rizab Persekutuan AS (Fed) memutuskan untuk terus memanjangkan lagi tempoh pelarasan kadar berkenaan,” katanya.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI susut ke paras 1,450 berikutan tiada aktiviti susulan daripada pembelian saham tempatan dan dalam persekitaran dagangan yang perlahan semalam.

“Walaupun kami menjangkakan aktiviti pembelian saham perbankan berlaku selepas mencatat penurunan selama seminggu, sentimen keseluruhannya sebaliknya mungkin masih belum ketara. Oleh itu kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam jajaran 1,450 hingga 1,460 hari ini,” katanya.

Loading...
Terkini