Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal dagangan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada sesi awal Jumaat, didorong oleh belian bagi saham wajaran tinggi terpilih serta di tengah-tengah pemulihan sentimendi pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.66 mata kepada 1,417.26 daripada 1,415.60 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks tersebut dibuka susut 0.31 mata kepada 1,415.29.
Di pasaran secara amnya positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 124 berbanding 115 manakala 240 kaunter tidak berubah, 1,837 tidak diniagakan dan 15 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 118.21 juta unit bernilai RM50.95 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pelabur berkemungkinan menumpukan pemangkin domestik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) bagi mencari peluang dagangan.

“Pelabur juga mungkin memberi tumpuan kepada syarikat dengan asas kukuh yang meraih pertumbuhan pendapatan dalam tempoh dua suku lepas,” katanya dalam nota tinjauannya, hari ini.

Firma pembrokeran itu juga menyifatkan saham-saham berkaitan tenaga, pembinaan, hartanah dan bahan binaan akan mendapat manfaat daripada NETR dan NIMP ketika pelabur terus mengambil kedudukan menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini