comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia Kekal Rendah Sehingga Sesi Dagangan Tengah Hari 

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia kekal rendah pada sesi dagangan tengah hari apabila kegiatan jualan terus merebak ke sektor-sektor utama.

Namun begitu, keuntungan dalam saham berkaitan penjagaan kesihatan berjaya mengekang kerugian seterusnya.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.15 mata kepada 1,450.94 berbanding penutupan Khamis pada 1,454.09.

Pada sesi pembukaan pagi ini, indeks utama dibuka 0.45 mata lebih tinggi pada 1,454.54 dan berlegar antara 1,450.05 dan 1,456.47 di sepanjang sesi sehingga tengah hari.

Pergerakan harga di pasaran bercampur-campur, menyaksikan 346 kaunter untung dan 350 kaunter rugi, manakala 360 kaunter tidak berubah, 1,313 tidak diniagakan dan 83 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.4 bilion unit bernilai RM666.96 juta.

Petunjuk yang tidak begitu memberangsangkan dari Wall Street dan kenaikan kadar faedah yang tinggi oleh Bank Pusat Eropah turut menjejaskan sentimen tempatan, manakala data utama Amerika Syarikat yang bercampur-campur telah menyebabkan pelabur menjauhi pasaran.

Sementara itu di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi  – Maybank dan Petronas Dagangan susut enam sen, masing-masing kepada RM8.62 dan RM20.98, manakala Dialog turun lapan sen menjadi RM1.93 dan Maxis lemah empat sen kepada RM3.76.

Sebaliknya, IHH naik enam sen kepada RM5.98 dan Hong Leong Bank menambah 14 sen menjadi RM21.14, sementara Top Glove meningkat 2.5 sen kepada 80 sen dan Hartalega menokok empat sen untuk mencatatkan harga RM2.12.

Dalam kalangan saham aktif, Borneo Oil dan Bintai Kinden tidak berubah, masing-masing pada 2.0 sen dan 9.5 sen, MY E.G naik 3.5 sen kepada 90 sen manakala KNM turun satu sen kepada 9.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan sebanyak 10.18 mata kepada 10,303.39, FBM 70 meningkat 29.97 mata kepada 12,281.13, dan Indeks FBMT 100 susut 10.97 mata kepada 10,042.62.

Indeks FBM Emas Syariah pula susut 1.73 mata kepada 10,345.00, manakala FBM ACE meraih 43.28 mata kepada 4,906.47.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kerugian 26.67 mata kepada 16,453.24, Indeks Tenaga lemah 4.14 mata menjadi 697.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.17 mata kepada 175.54, dan Indeks Perladangan turun 42.82 mata kepada 6,876.23. – BERNAMA

Loading...
Terkini