comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia jatuh menjejaki prestasi bercampur-campur di Wall Street

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi bercampur-campur di Wall Street dalam tempoh semalaman berikutan sentimen yang kekal berhati-hati terhadap trajektori kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah 2.38 mata kepada 1,601.66 daripada 1,604.04 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi dalam tempoh singkat apabila menokok 0.86 mata kepada 1,603.18 sebelum kembali rendah.

Pasaran lebih luas memperlihatkan sentimen bercampur-campur, dengan 200 kaunter untung mengatasi 109 kaunter rugi manakala 253 kaunter tidak berubah, 1,904 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 151.04 juta saham bernilai RM76.03 juta.

Kenyataan terkini oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell menunjukkan tiada keperluan mendesak untuk menyelaraskan kadar faedah, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng sambil menekankan mengenai keteguhan ekonomi dan pasaran buruh yang kukuh.

“Hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun menyusut kepada 4.414 peratus. Sementara itu, di Hong Kong, Indeks Hang Seng menokok selepas pengawal selia China menggalakkan syarikat dengan harga saham di bawah nilai bersih masing-masing untuk meningkatkan prestasi.

Perubahan ini meningkatkan minat terhadap bank,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Pak Leng menyifatkan sentimen pasaran keseluruhan di Hong Kong adalah lemah susulan pengumuman pakej rangsangan baru-baru ini yang kurang memberangsangkan.

Pak Leng berkata, FBM KLCI berjaya meraih peningkatan mengagumkan walaupun berdepan hala tuju pemulihan yang mencabar.

“Kami menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan diteruskan menjelang laporan prestasi pendapatan daripada kaunter saham wajaran tinggi minggu ini, dengan indeks mungkin bergerak antara julat 1,600 hingga 1,610 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional menambah 2.0 sen kepada RM14.38, Public Bank susut 3.0 sen kepada RM4.47, Maybank dan CIMB masing-masing berkurangan 6.0 sen kepada RM10.28 dan RM8.15 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.22.

Bagi saham aktif, AIZO naik setengah sen kepada 15 sen, MMAG Holdings menokok 1.0 sen kepada 45 sen, Life Water menambah 4.0 sen kepada 90 sen, Elridge Energy meningkat 1.5 sen kepada 44.5 sen manakala Classita kekal pada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 19.62 mata kepada 12,133.24, Indeks FBM Emas naik 0.55 mata kepada 12,173.41, Indeks FBM 70 menokok 55.32 mata kepada 17,919.21 dan Indeks FBM ACE meningkat 5.94 mata kepada 5,181.03.

Bagaimanapun Indeks FBMT 100 susut 1.81 mata kepada 11,874.01.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga menokok 6.88 mata kepada 834.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.75 mata kepada 171.0 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 66.30 mata kepada 19,144.24 dan Indeks Perladangan susut 4.88 mata kepada 7,700.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini