comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi berikutan aktiviti belian semasa harga rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini berikutan aktiviti belian semasa harga rendah dengan lebih dua pertiga daripada komponen indeks utama meningkat, didorong oleh keadaan pasaran yang lebih tenang di Wall Street dalam tempoh semalaman, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 6.86 mata kepada 1,442.51 daripada  1,435.65 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka meningkat 2.32 mata kepada 1,437.97 sebelum bergerak antara 1,437.82 dan 1,444.53 sepanjang sesi.

Di keseluruhan pasaran pula menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 447 berbanding 360, manakala 459 kaunter tidak berubah, 1,102 tidak diniagakan dan 20 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan turun kepada 2.83 bilion unit bernilai RM1.78 bilion daripada 2.93 bilion unit bernilai RM1.94 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata peningkatan itu turut didorong oleh cadangan kerajaan China untuk menerbitkan bon berdaulat bernilai satu trilion yuan dalam usaha untuk meningkatkan ekonominya.

“Pada masa depan, kami menjangkakan FBM KLCI akan meraih peningkatan seperti sesi sebelum ini di tengah-tengah situasi pasaran yang lebih tenang.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng pula meramalkan pelan rangsangan oleh China akan memberi kesan limpahan positif yang memberi manfaat kepada pasaran serantau termasuk Malaysia.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan diniagakan dalam jajaran 1,435 hingga 1,450 untuk tempoh berbaki minggu ini,” katanya.

Loading...
Terkini