
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi rendah pada Jumaat sejajar dengan bursa serantau, menjejaki kemelesetan pasaran global apabila Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell menyuarakan keraguan mengenai keberkesanan kadar faedah negara itu dalam membendung inflasi.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.48 peratus atau 7.09 mata untuk ditutup pada 1,445.18 daripada 1,452.27 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks itu dibuka 1.71 mata lebih rendah kepada 1,450.56 sebelum bergerak di antara 1,425.01 dengan 1,451.22 sepanjang dagangan hari ini.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 557 berbanding 359, manakala 437 kaunter tidak berubah, 1,021 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.19 bilion unit bernilai RM1.61 bilion daripada 3.32 bilion unit bernilai RM1.94 bilion yang diraih pada Khamis.