comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah, FBM KLCI susut 5.77 mata

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Penurunan kaunter wajaran tinggi yang diterajui saham perbankan menjejaskan Bursa Malaysia menjelang ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell mengenai prospek kadar faedah AS pada lewat hari ini dan esok.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah positif apabila minat tertumpu kepada kaunter berharga rendah berikutan keyakinan terhadap keputusan pendapatan korporat dan keadaan ekonomi yang bertambah baik, demikian menurut naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng.

Pada 5 petang, FBM KLCI turun 0.39 peratus atau 5.77 mata untuk ditutup kepada 1,457.60 daripada paras penutup 1,463.37 pada Selasa.

Indek utama itu dibuka rendah turun 2.24 mata kepada 1,461.13 dan bergerak antara paras 1,454.46 dan 1,462.01 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 490 berbanding 412, manakala 454 kaunter tidak berubah, 1,008 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.45 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada paras penutup 3.27 bilion unit bernilai RM2.17 bilion pada Selasa.

Thong berkata prospek jangka terdekat bagi saham Malaysia dijangka kekal positif disokong oleh penilaian menarik, pendapatan kukuh korporat dan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

“Kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran melantun semula pada bila-bila masa dan menjangka ia diniagakan dalam jajaran 1,455-1,470 bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Loading...
Terkini