KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diniagakan rendah pada sesi awal dagangan pagi Khamis, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur selepas Rizab Persekutuan mengambil keputusan melangkau kenaikan kadarnya.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka pada paras 1,382.96, rendah 2.46 mata daripada 1,385.42 pada penutupan urus niaga semalam.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun Fed menghentikan seketika kenaikan kadarnya tetapi ia juga memberi isyarat kenaikan kadar tambahan mungkin berlaku sekiranya perlu untuk mengawal harga.
Beliau berkata sentimen turut terjejas oleh penyahsenaraian pemaju tanah besar China di tengah-tengah pasaran perumahan yang lemah.
“Namun begitu, percubaan AS baru-baru ini untuk meredakan ketegangan dengan China mungkin memberi harapan untuk menyuntik keyakinan kembali ke dalam sistem kewangan,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata FBM KLCI ditutup tinggi semalam disebabkan aktiviti belian lewat melibatkan saham wajaran tinggi terpilih.
“Hari ini, kami menjangkakan sentimen pasaran kekal berhati-hati ekoran ketidaktentuan serantau yang semakin meningkat selepas mengambil petunjuk daripada Wall Street.
“Justeru, kami berpendapat indeks akan kekal dalam julat 1,380-1,390 hari ini dan ketiadaan kenaikan kadar dapat merangsang minat belian di kaunter teknologi dalam jangka pendek,” tambahnya.- BERNAMA