KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mengalami aliran tinggi minggu depan, didorong keyakinan berkaitan berakhirnya kitaran kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) berikutan tanda-tanda penurunan inflasi.
Ini susulan data Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang lebih rendah.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata di peringkat tempatan, jangkaan pasaran terhadap keuntungan korporat juga positif dan menyumbang kepada kemungkinan aliran meningkat minggu depan.
“Kami menjangkakan suasana pasaran kekal positif, susulan keredaan kebimbangan terhadap inflasi dan kadar faedah di samping pelabur bergantung kepada jangkaan keuntungan korporat yang kukuh untuk meningkatkan sentimen pelabur,” katanya kepada Bernama.
Justeru, beliau menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam julat 1,430 hingga 1,445.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata jangkaan mengenai dasar monetari yang lebih longgar oleh Fed dalam beberapa bulan akan datang akan menggalakkan pengambilan risiko di peringkat global.
“Ini bermakna pelabur akan membeli saham di kebanyakan bidang kuasa seperti Asia, Eropah dan AS,” katanya.
IHP AS turun kepada lima peratus tahun ke tahun pada Mac 2023 daripada enam peratus pada Februari 2023 — berbanding jangkaan pasaran pada 5.2 peratus dan angka terendah yang dicatatkan sejak Mei 2021.
Sementara itu, data IHPR AS merosot kepada 2.7 peratus tahun ke tahun pada Mac 2023 daripada 4.9 peratus pada Februari 2023 — bacaan terendah sejak Januari 2021.
Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur dengan pasaran yang tidak menentu.