comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum merosot

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan awal hari ini tetapi merosot kemudiannya berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana selepas mencatatkan kenaikan yang ketara minggu lalu, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.30 mata kepada 1,644.69 daripada 1,645.99 pada Jumaat lalu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.72 mata kepada 1,646.71.

Suasana pasaran negatif, dengan 363 kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 137 manakala 302 kaunter kekal tidak berubah, 1,679 saham tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 257.21 juta unit bernilai RM143.14 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI mengakhiri minggu lalu dengan mencatatkan positif, didorong oleh optimisme berkaitan Belanjawan 2025.

“Melihat ke hadapan, kami neutral terhadap Belanjawan 2025. Bagaimanapun, kami menjangka pasaran mungkin sedikit kecewa dengan ketiadaan pelaksanaan projek infrastruktur.

“Namun, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih positif antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada 2025 dijangka menyuntik sedikit optimisme,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Pak Leng menjangka indeks akan berada dalam julat 1,645 hingga 1,655 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM10.64 dan IHH Healthcare berkurangan tiga sen kepada RM7.16.

Bagaimanapun, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.58, CIMB Group menambah empat sen kepada RM8.19 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.68.

Bagi kaunter aktif, Globetronics Technology naik 3.5 sen kepada 65 sen, Cape EMS dan Alpha IVF, masing-masing meningkat setengah sen kepada 33.5 sen dan 36.5 sen, Datasonic Group menambah satu sen kepada 44.5 sen, bagaimanapun Dagang NeXchange merosot satu sen kepada 35 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 27.82 mata kepada 12,339.71, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 45.70 mata kepada 12,231.25, Indeks FBMT 100 susut 24.18 mata kepada 12,043.39 dan Indeks FBM 70 turun 90.08 mata kepada 17,625.55.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE naik 2.46 mata kepada 5,123.26.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga merosot 1.69 mata kepada 852.84, Indeks Perladangan berkurangan 20.27 mata kepada 7,253.26 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.35 mata kepada 176.07, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.03 mata kepada 19,487.59. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini