KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum minggu lalu dengan dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi Wall Street semalaman yang lebih baik berikutan pelabur terus meletakkan kepercayaan pada strategi ‘beli kripto dan dolar’ susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya.
Pada 9.27 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.28 mata kepada 1,596.06 daripada 1,589.78 pada Jumaat lalu.
Indeks petunjuk pasaran memulakan hari dagangan dengan naik 4.09 mata kepada 1,593.87.
Suasana pasaran, bagaimanapun, negatif sedikit, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 263 berbanding 233 manakala 353 kaunter tidak berubah, 1,615 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 322.82 juta unit bernilai RM187.24 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menjangka tumpuan peniaga pada minggu ini akan beralih kepada acara ekonomi utama, termasuk minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Teras Amerika Syarikat (AS), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga AS dan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan China.
“Dengan kenaikan harga emas dan minyak, kami menjangka aktiviti dagangan positif dalam sektor emas serta minyak dan gas.
“Selain itu, dolar AS yang kukuh dan cadangan tarif oleh pentadbiran Trump dijangka mewujudkan peluang dalam sektor berorientasikan eksport seperti teknologi dan sarung tangan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing naik 8.0 sen kepada RM10.28 dan RM14.08, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing meningkat 4.0 sen kepada RM4.42 dan RM7.23 serta Hong Leong Bank menambah 18 sen kepada RM20.66.
Bagi saham aktif, CN Asia merosot setengah sen kepada 7.0 sen, Bahvest berkurangan 4.5 sen kepada 88.5 sen manakala Genetic Technology menambah 5.0 sen kepada 86.5 sen dan Widad Group tidak berubah pada 5.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 35.44 mata kepada 12,160.95, Indeks FBM Emas meningkat 47.41 mata kepada 12,158.40 dan Indeks FBMT 100 menambah 47.01 mata kepada 11,861.44.
Indeks FBM 70 naik 72.61 mata kepada 18,006.63, bagaimanapun Indeks FBM ACE berkurangan 19.47 mata kepada 5,143.60.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 114.77 mata kepada 19,151.84, Indeks Tenaga naik 4.43 mata kepada 824.55 dan Indeks Perladangan meningkat 0.74 mata kepada 7,539.26.
Bagaimanapun, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.30 mata kepada 172.98. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.