comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki kebanyakan bursa serantau selepas prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur berikutan pelabur meneliti keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu untuk mengekalkan kadar faedah utamanya.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.21 mata kepada 1,574.76 daripada 1,575.97 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah satu mata kepada 1,574.97.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 235 berbanding 124 manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,660 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 130.91 juta unit bernilai RM66.88 juta.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Rabu sempena cuti Hari Pekerja.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dalam kenyataan pada Rabu, Fed mencadangkan walaupun penurunan kadar mungkin langkah seterusnya, kemajuan berterusan untuk inflasi AS masih tidak menentu.

Dow Jones naik hanya 87 mata (0.20 peratus) untuk ditutup di bawah paras 38,000, bagaimanapun saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) menghadapi kesukaran berikutan beberapa syarikat AI terkemuka melaporkan pendapatan yang kurang menggalakkan, menyebabkan Nasdaq merosot 52 mata untuk ditutup kepada 15,605.

Thong berkata dagangan rendah di rantau Asia.

“Di peringkat domestik, FBM KLCI ditutup rendah pada Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung. Walaupun terdapat penurunan selepas mencatatkan kenaikan, kami melihat pembetulan ini sebagai konsolidasi yang baik untuk mengekalkan trend meningkat.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,570 hingga 1,580 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini